Kad Jemputan Perkahwinan. Kad Jemputan Pernikahan. CahayaKad. Rekaan Retro & Minimalist.

By: latifi amir abdul kadir

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Monday, 2-Apr-2007 01:06 Email | Share | Bookmark
TIPS UNTUK MENEMPAH KAD JEMPUTAN PERKAHWINAN





Tips Untuk Menempah Kad Jemputan Perkahwinan

1. Kad jemputan adalah perkara pertama yang terbayang di fikiran pasangan pengantin jika mereka ingin melansungkan perkahwinan. Ia perlu disiapkan terlebih dahulu kerana ia adalah salah satu cara untuk memberitahu tetamu jemputan tentang majlis tersebut.

2. Tempahlah kad perkahwinan yang terbaik mengikut kemampuan anda kerana ia mungkin berlaku hanya sekali di dalam kehidupan anda. Kad jemputan adalah gambaran pertama tentang majlis perkahwinan anda. Kad jemputan yang dicetak ala kadar akan memberikan gambaran yang kurang elok kepada majlis perkahwinan anda. Manakala kad jemputan yang bermutu akan membangkitkan keinginan tetamu untuk hadir ke majlis anda.

3. Berikan perhatian pada kad jemputan tersebut. Keluarkanlah sedikit perbelanjaan yang lebih untuk mendapatkan kad yang bermutu. Perlu dingatkan bahawa tetamu yang hadir bukan sahaja akan menyerikan majlis, malah ada yang menghulurkankan sedikit wang. Jadi adalah wajar bagi pihak pengantin menjemput mereka dengan cara yang paling baik iaitu dengan mengutuskan kad jemputan yang berkualiti.

4. Kad perkahwinan sangat penting sama seperti pentingnya tempahan dewan perkahwinan, tempahan catering, khidmat kecantikan dan andaman, pakaian pengantin, tempahan pelamin, hiasan kereta, khidmat jurugambar dan khidmat penggambaran video.

5. Kebanyakan pasangan yang hendak menempah kad jemputan mungkin tidak pernah mempunyai pengalaman berurusan dengan pereka kad atau pencetak kad perkahwinan. Kadangkala mereka terlalu naïf dan menyerahkan segala urusan kepada orang tua atau adik beradik mereka. Citarasa pasangan tersebut mungkin berbeza dengan citarasa orang tua mereka. Ini akan menyebabkan pasangan tersebut tidak berpuas hati dengan kad jemputan yang telah dicetak kerana tidak menepati citarasa mereka. Jika pasangan tersebut yang membayar kos pencetakan, maka sepatutnyalah mereka menentukan jenis kad yang mereka inginkan.

6. Buatlah sedikit ‘homework’ sebelum anda menyerahkan bulat-bulat kepada pereka untuk mereka kad anda. Banyak laman-laman web yang menyediakan visual kad-kad jemputan yang menarik. Anda boleh mencetak contoh-contoh kad dari laman web tersebut dan bertanya kepada pereka kad samada idea-idea tersebut boleh digunakan selagi ia tidak menyalahi peraturan hakcipta. Antara laman-laman web yang menarik untuk dikunjungi adalah seperti berikut:

http://www.weddingthings.com/wedding_invitations.htm
http://www.invitationconsultants.com/index-wedding.aspx

7. Selain daripada melayari laman web, majalah perkahwinan yang banyak di pasaran juga boleh membantu. Luangkanlah sedikit masa untuk melihat contoh-contoh dari majalah-majalah tersebut.

8. Anda juga boleh menentukan tema yang anda inginkan untuk keseluruhan majlis perkahwinan anda. Misalnya jika anda memilih tema warna perak sebagai warna tema perkahwinan, anda boleh memberitahu pereka kad perkahwinan untuk menyesuaikan tema tersebut di dalam kad perkahwinan anda.

9. Tanya, tanya dan tanya. Bertanyalah banyak soalan kepada pereka atau pencetak tentang kad yang anda inginkan. Mereka dengan rela hati akan menasihati anda apa yang boleh dilakukan dan begitulah juga sebaliknya. Seperti seorang arkitek, mereka tahu bagaimana hendak membina sebuah bangunan. Begitu juga dengan seorang pereka, mereka tahu apa yang patut dilakukan untuk mencipta kad yang cantik. Dengan bertanyakan banyak soalan, sebarang kekeliruan akan terjawab.

10. Ingatlah tidak semestinya kad yang dicetak dengan kos yang murah itu tidak cantik dan tidak semesti kad yang mahal itu juga akan cantik penampilannya. Kad yang baik dapat dilihat melalui faktor-faktor berikut:

- Kertas yang bermutu.
- Pemilihan layout yang unik.
- Pemilihan warna yang menonjol samada cetakan offset atau cetakan emas (hot stamped).
- Pemilihan font (huruf) yang cantik dan mudah dibaca.
- Cara pengolahan kad yang kreatif samada dari segi layout, cetakan, lipatan atau ikatan riben.
- Tiada sebarang kesalahan pada ejaan kad terutama pada nama, tarikh, tempat dan sebagainya.
- Sampul kad yang bermutu.
- Anda akan menyedari bahawa kad anda cantik jika rakan-rakan memuji tentang keunikan kad anda.

11. Mintalah contoh-contoh kad atau katalog dari pereka atau pencetak. Dari contoh-contoh itu, anda akan mendapat gambaran samada pereka itu berwibawa atau tidak. Tanyakan juga jenis-jenis kad dan harga kad-kad tersebut..

12. Selalunya pereka atau pencetak akan meminta 50% wang pendahuluan setelah anda bersetuju untuk menggunakan khidmat mereka. Pastikan pereka kad memberikan draf kad jemputan terakhir (tiada lagi sebarang kesalahan pada ejaan dan sebagainya) sebelum anda menjelaskan wang pendahuluan itu.

13. Tempahlah kad mengikut jumlah tetamu yang ingin anda jemput. Cetakan kad yang lebih adalah lebih baik daripada cetakan kad yang kurang. INGAT! Cetakan semula dalam kuantiti yang sedikit akan menyebabkan anda perlu membayar harga yang lebih. Malah ada pencetak yang tidak mahu mencetak dalam kuantiti yang sedikit kerana tiada keuntungan yang diperolehi.

BAYANGKAN SITUASI INI: Perbezaan mencetak 500 keping kad dengan 600 keping kad mungkin hanyalah 10 minit. Jika anda menempah 500 keping kad dan tiba-tiba anda menyedari bahawa anda memerlukan 100 kad lagi. Cetakan kali kedua sebanyak 100 keping kad akan menjadi mahal kerana pencetak perlukan masa untuk membuat set-up pada mesin pencetak seperti meletakkan plate, kertas, dakwat, memotong kertas dan sebagainya. Anda akan menjimatkan banyak masa dan wang jika anda menempah 600 kad pada permulaannya. Tentukan jumlah tetamu jemputan sebelum anda menempah kad.

14. Tempahlah kad perkahwinan secepat yang mungkin sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum majlis perkahwinan diadakan. Masa 2 bulan itu termasuklah:

- 1 minggu untuk perbincangan konsep dan rekaan oleh pereka.
- 1 minggu untuk melakukan pembetulan seperti membetulkan kesalahan ejaan dan sebagainya.
- 1 minggu untuk menerima sebutharga cetakan dan proses cetakan dilakukan selepas itu.
- Selepas itu anda masih punya masa lebih dari 1 bulan untuk mengedarkan kad-kad jemputan anda.

15. Simpanlah kad jemputan sebagai kenang-kenangan. Anda juga boleh meminta jurugambar perkahwinan untuk merakamkan gambar kad tersebut untuk dimuatkan di dalam album perkahwinan. Selitkan kad jemputan pada mukasurat pertama album perkahwinan anda untuk tatapan di masa akan datang.

16. Majlis perkahwinan pasti berlalu hanya 3 perkara yang boleh mengingatkan nada pada majlis tersebut iaitu Kad Jemputan, Album Perkahwinan dan Tayangan Video. Berilah perhatian kepada ketiga-tiga perkara tersebut.



LATIFI AMIR
Pereka cahayaKad
Kuching Sarawak
latifiamir@hotmail.com
Tel + (013) 8210 843 / (082) 255 300



View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net