Kad Jemputan Perkahwinan. Kad Jemputan Pernikahan. CahayaKad. Rekaan Retro & Minimalist.

By: latifi amir abdul kadir

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 6-Oct-2009 10:39 Email | Share | Bookmark
Kesederhanaan dan Kreativiti

Rasanya mungkin belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada pembaca lamanweb ini. Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca dan juga pelanggan yang menghubungi saya melalui email dan sms. Ramai yang bertanyakan tentang rekaan kad yang saya cipta untuk jenama CahayaKad ini. Terima kasih sekali lagi.

Ini mungkin kali pertama saya berbicara tentang minat saya di dalam rekaan kad ini. Saya mula berminat untuk menghasilkan kad sejak saya belajar di dalam Jurusan Senireka Grafik & Pengiklanan di UiTM, Shah Alam. Saya masih ingat pada ketika saya sering berulang-alik ke Pasar Seni semata-mata untuk melihat pelukis-pelukis di sana menghasilkan karya mereka. Melalui pembelajaran di kampus telah didedahkan kepada Asas-asas Senilukis dan Senireka. Asas-asas yang penting seperti penggunaan Garisan, Rupa, Terang dan Gelap, Warna dan sebagainya. Saya juga diajar tentang penggunaan konsep senireka seperti Kontrast, Harmoni, Balance dan Repetition. Ia banyak membantu ketika saya menghasilkan rekaan atau mengambil gambar sesuatu objek.

Saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk membuat latihan praktikal di Johan Design Associates. Walaupun hanya untuk beberapa minggu ia sudah memadai untuk saya mengenali dunia rekaan grafik. JDA adalah di antara firma senireka tempatan yang sangat berjaya sejak penghujung 80-an hinggalah sekarang. Diambil sebagai pelatih di firma ini adalah satu penghormatan bagi pelajar-pelajar senireka. Senarai pelanggan-pelanggan mereka yang tersenarai di Bursa Saham sudah cukup untuk membuktikan kehebatan mereka. Walaupun hanya berpeluang untuk membuat tampalan layout (finish artwork) yang menggunakan kertas bromide dan cow gum untuk menu Penerbangan Malaysia, tetapi ia cukup besar maknanya. Saya juga berpeluang untuk menghasilkan finish artwork untuk kalendar Gutrhie Berhad dan rekaan kad Hari Raya.

Selepas itu saya berpeluang untuk bekerja dengan Agensi Pengiklanan Adextra di Brickfields selama 2 tahun. Dunia pengiklanan sedikit berbeza dari dunia rekaan grafik walaupun ia jari cabang yang sama. Ia seperti rekaan senibina dan rekaan hiasan dalaman. Saling memerlukan anara satu sama lain. Saya mempelajari bagaimana melukis story board untuk iklan komersial tv dan iklan akhbar. Antara pelanggan mereka adalah Parkson Grand, Suzuki Motors, Lion Group, Silverstone Tyre dan lain-lain.

Apabila saya berpindah ke Kuching, saya telah menyertai sebuah studio yang terlibat dengan senibina dan rekaan grafik. Sekarang saya masih bersama syarikat ini yang sudahpun menjadi syarikat pembinaan / construction. Di sini saya berpeluang untuk bekerja dengan beberapa orang arkitek, pereka hiasan dalaman, artis 3D, jurutera, pelabur dan sebagainya. Ia membuka mata kerana saya boleh membantu memahami pandangan “orang lain” tentang rekaan grafik.

Saya selalu memberitahu tentang keinginan saya untuk mengahsilkan rekabentuk yang sederhana. Ada yang mengatakannya sebagai aliran “minimalist”. Saya menyedari aliran rekaan ini telahpun ada di dalam kerja-kerja saya sejak di kolej lagi. Ketika bekerja dengan seorang arkitek di sini saya telah diajar tentang rekaan yang lebih berdisiplin iaitu dengan menggunakan sistem ukuran bergrid. Hasilnya layout lebih terurus sesuai dengan konsep senireka itu sendiri.

Jika berbincang tentang kesederhanaan rekaan, saya tidak dapat lain dari membicarakan kesederhanaan di dalam rekaan produk. Saya memang agak berat sebelah ketika memberikan pendapat bahawa rekaan komputer atau gadget yang terbaik adalah dari jenama Apple. Hampir kesemua rekaan produk mereka sangat ringkas dan sederhana. Ia dapat dilihat melalui saiz, pemilihan warna, rekaan dan material yang digunakan. Lihat sahaja rekaan untuk Apple MacBook Pro, iMac, iPhone, iPod, shuffle, Mac Mini dan sebagainya. Ringkas dan menarik. Malah sistem operasi Leopard (Leopard MacOs) juga sangat mudah untuk digunakan. Tidak hairanlah produk Apple selalu disenaraikan sebagai pemegang anugerah rekaan terbaik tahunan.



Begitu juga dengan rekaan perabot terkenal seperti rekaan pereka Arne Jacobson. Rekaannya ringkas tapi sangat menarik sehingga menjadi icon rekaan perabot sejak bertahun-tahun lamanya. Rekaan perabot IKEA juga bolehlah dianggap ringkas dan mampu berfungsi dengan baik. Begitu juga rekaan rumah oleh arkitek terkenal Australia, Glenn Murcutt. Rekaan-rekaan beliau sangat ringkas dan bersegi tetapi tidak bosan untuk diamati. Yang nyata rekaan beliau tetap mengambil-kira tentang penggunaan ruang, kemasukan aliran angin dan penggunaan cahaya semulajadi.



Saya juga menginginkan rekaan-rekaan sedemikian untuk kad-kad rekaan saya. Ringkas, sederhana tetapi berkualiti dan mempunyai identitinya tersendiri. Saya pernah menolak dengan baik permintaan seorang pelanggan yang inginkan kad jemputan berimejkan dua ekor burung merpati yang menggigit riben dan membentuk bentuk hati yang berkerawang. Saya sukakan sedikit kelainan dan sedaya upaya untuk tidak mengulangi rekaan yang telah direka oleh orang lain. Saya bertanggungjawab pada setiap rekaan saya kerana ia adalah portfolio yang harus saya hargai dan saya juga mementingkan kualiti melebihi kuantiti.

Selain dari senireka grafik, saya juga berminat dengan seni lukisan, water colour, fotografi, kaligrafi, senibina, hiasan dalaman dan rekaan lanskap taman.



(Kiri) Saya dengan laptop kesayangan. (Kanan) Taman rahsia (secret garden) rekaan saya yang serba sederhana di LamanSri.



(Kiri) Ruang masuk ke dalam rumah saya, rumah peninggalan arwah datuk yang diubahsuai. (Kanan) Lawatan ke lamanSri oleh arkitek Brian Donovan (Australia / dua dari kiri) lanskap arkitek Seksan Ng, Kuala Lumpur seksan.com (tiga dari kanan) dan arkitek Duangrit Bunnag (Thailand / paling kanan) selepas mengadakan bengkel Rekaan Senibina Tropika 2008 anjuran PAM Sarawak Chapter.



LATIFI AMIR ABDUL KADIR + CahayaKad


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net